KUALA LUMPUR: Remaja lelaki yang dituduh merancang serangan pengganas tahun lalu, dipenjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan, selepas mendapati remaja berusia 17 tahun itu bersalah di akhir kes pembelaan.
Nordin dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan laporan akhlak yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mitigasi dan pembebanan hukuman seperti dimohon pihak pendakwaan.
Sebelum ini, tertuduh didakwa menggalakkan tindakan keganasan di Malaysia, yang bertentangan dengan Seksyen 130G (a) dan kesalahan mengikut Seksyen 120 (b) (1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman 30 tahun penjara dan denda. Peguam bela tertuduh, Nik Zarith Nik Moustpha ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Kajang. -BHOnline