Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Beserah di sini cedera di bahagian belakang leher dipercayai akibat dibelasah seniornya kerana tidak menghadiri latihan perbarisan untuk Hari Sukan sekolah itu kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa didakwa dibelasah pelajar tingkatan lima ketika mereka berada di dewan sekolah berkenaan.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hakim, 38, berkata, pelajar senior berkenaan yang juga ketua perbarisan untuk Hari Sukan sekolah itu dikatakan tidak berpuas hati selepas anaknya beberapa kali tidak menghadiri latihan selepas sesi pembelajaran.
“Pada mulanya pelajar terbabit bertanya kepada anak saya mengapa tidak hadir latihan seperti ditetapkan dan anak saya menjawab mahu mengulang kaji pelajaran berikutan peperiksaan pertengahan tahun berlangsung pada minggu berkenaan.
“Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan anak saya, pelajar berkenaan terus membelasah menyebabkan dia terpaksa menahan kesakitan di bahagian belakang lehernya.
“Kebetulan di dalam dewan berkenaan tinggal mereka berdua sahaja selepas pelajar lain keluar sebaik sahaja taklimat selesai. Tiada pelajar lain atau guru yang datang membantunya,” katanya di sini hari ini.
Hakim berkata, dia membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas mengadu sakit di bahagian belakang leher akibat kejadian itu.
“Anak saya terpaksa ditahan di wad selama dua hari untuk dipantau keadaannya dan bahagian lehernya mula bengkak. Doktor ada membuat imbasan x-ray bagi memeriksa sama ada tulang lehernya mengalami keretakan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan pihak sekolah berhubung kejadian berkenaan