AYER KEROH: Seorang warga tua dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Februari lalu.
Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik menjatuhkan hukuman itu terhadap Hussin Ali, 71, dari Malim, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan niat mencabul kehormatan anak jirannya itu.
Hussin didakwa menggunakan kekerasan ke atas mangsa dengan niat mencabulnya pada jam 4 petang di sebuah rumah di Bertam Malim, di sini, Februari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor usia mangsa dan kekerapan jenayah seksual.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, merayu hukuman ke atasnya diringankan dengan alasan sudah tua dan menanggung keluarga.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd Asri menetapkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Mac lalu. -BHOnline