Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Juruteknik Ditahan Miliki Senjata Api Tiruan, Menyamar Anggota TLDM

$
0
0

ALOR GAJAH 01 JUNE 2016. Baju kalis peluru skuad Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) palsu turut dirampas daripada seorang suspek berusia 41 tahun yang menyamar sebagai seorang anggota TLDM ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Melaka. STR/ MUHAMMAD HATIM AB MANAN

 

ALOR GAJAH: Seorang juruteknik sebuah syarikat air minuman di Kuala Lumpur berusia 41 tahun ditahan kerana memiliki senjata api tiruan serta menyamar sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kilometer 210 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, jam 3.45 pagi semalam.

Bahan yang ditemui di dalam sebuah van putih jenis Nissan yang dipandunya itu antaranya tiga laras senapang pelbagai jenis, dua pucuk pistol, 77 butir peluru jenis rem dan dua butir peluru 4.8 milimeter (mm), dua beg galas, teropong, sarung pistol, kompas, ‘walkie-talkie’, jaket kalis peluru dan baju kalis hujan celoreng Tentera Darat.

Semua barangan itu dirampas oleh pihak polis dari Bukit Aman yang melakukan rondaan di laluan lebuh raya berkenaan sekitar jam 11 malam hingga 7 pagi selepas melihat van terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, ketika ditahan, lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu berpakaian seragam TLDM dipercayai membawa barangan terbabit dari Johor ke ibu negara.

“Suspek mendakwa senjata berkenaan dibeli secara atas talian dari Hong Kong dan mengaku membeli baju seragam dipakainya di Kompleks Pertama, di ibu negara. “Suspek turut mendakwa senjata api yang dimilikinya itu diperoleh kerana minat namun polis sedang menyiasat motif kejadian.

“Ini kerana, kemungkinan ia turut digunakan dalam kegiatan jenayah selain disyaki terbabit dengan penjualan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini.

A Asmadi berkata, selepas pemeriksaan ke atas semua senjata terbabit, ia disahkan tiruan manakala suspek negatif ujian air kencing.

“Suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes sama pada 2012 serta dipenjara enam bulan,” katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari mulai hari ini serta van turut disita untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api secara haram serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. -BHOnline


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082