Langkawi: Seorang lelaki ditemui mati dalam lorinya dipercayai akibat sakit jantung ketika memunggah barang di depan sebuah pasar raya di Jalan Tanjung Rhu, di sini, semalam.
Dalam kejadian 12 tengah hari, Hairol Amir Hat, 33, ditemui orang awam terbaring di belakang lori.
Difahamkan, mangsa bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat pemborong barangan runcit di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, polis menerima panggilan berkaitan kejadian daripada orang awam sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba mereka menemui seorang lelaki di bahagian belakang lori dan dihantar ke bilik mayat Hospital Langkawi untuk bedah siasat.
“Pihak hospital kemudian mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung,” katanya ketika dihubungi, di sini.