SEREMBAN: Sepasang suami isteri dan seorang jiran mereka, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memaksa enam kanak-kanak bekerja di sekitar bandar ini, bulan lalu.
S Indran, 24, dan isterinya, M Tamarai Mary, 25, serta jiran, Traysa Meiry, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Mereka didakwa secara berasingan, memperdagangkan enam kanak-kanak berusia antara 13 sehingga 17 tahun, dengan memaksa mereka bekerja di rumah nombor 3613 dan 3614, Jalan RJ 5/17, Taman Rasah Jaya di sini, jam 12.20 tengah malam, 17 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara tiga hingga 20 tahun serta denda.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Afzainizam Abdul Aziz dan Nadia Zulkefli. Semua tertuduh pula diwakili S Devika dan Nur Fatin Amirah Mohd Shari.
Mahkamah menetapkan jaminan terhadap Indran dan Tamarai Mary, masing-masing sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin manakala Traysa Meiry pula dikenakan denda RM10,000 dan seorang penjamin. Sebutan kes ditetapkan semula pada 19 Julai ini.