KOTA KINABALU: Seramai 34 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas di jalan berhadapan simpang pejabat pentadbiran universiti itu di sini, semalam.
Nahas kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika bas sewa itu menuruni laluan berbukit sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata 23 pelajar yang cedera ringan menerima rawatan di Klinik Warga UMS, manakala 11 lagi dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, pemandu bas terbabit yang berusia 34 tahun hanya cedera ringan di bahagian siku tangan kiri.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada brek bas ekspres terbabit yang gagal berfungsi sehingga menyebabkan ia terbabas ketika menuruni bukit.
“Pemandu bas terbabit tidak disyaki mabuk namun sampel darahnya telah diambil untuk siasatan lanjut,” katanya di sini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.