SHAH ALAM: Seorang juruteknik kapal terbang didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi, atas dua tuduhan berkaitan merekrut ahli kumpulan militan Negara Islam (IS).
Tertuduh, Nor Hafizy Che Meh, 39, mengangguk tanda faham selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Bagi pertuduhan pertama, Nor Hafizy didakwa dengan pengetahuan menggalakkan keahlian dalam kumpulan militan IS di sebuah rumah di Lot 6846-F, Lorong Lemboja, Kampung Melayu Subang, antara Disember 2013 hingga Oktober 2015.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan perjumpaan diadakan di tempat sama dan masa sama.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130 G (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130 H kanun berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor, Roslan Mat Nor.