PASIR GUDANG: Tiga lelaki yang dikenali kumpulan ‘trigger happy’ kerana akan melepaskan tembakan dalam setiap rompakan dan baru bergiat aktif sejak sebulan lalu, ditahan polis selepas kira-kira lapan jam menyamun sebuah kedai di Kota Masai, dekat sini.
Tiga lelaki berusia 28 tahun itu ditahan oleh dua anggota kereta peronda polis (MPV) yang terserempak dengan kereta dinaiki suspek di Plaza Tol Cahaya Baru, Lebuhraya Senai – Desaru, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Suspek sebelum itu menyamun mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM2,000 dan turut melepaskan tembakan ke udara ketika dikejar mangsa dan orang awam, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata anggota polis mengejar suspek yang menaiki Proton Gen 2, selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya ditahan di Kampung Nelayan Kong Kong, dekat sini.
Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol semi automatik dan 17 butir peluru 9 milimeter (mm) yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Suspek dipercayai mula aktif kira-kira sebulan lalu di kawasan Kota Tinggi dan Seri Alam dan setakat ini terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjatapi, satu kes cubaan samun dan satu kes cubaan bunuh dalam tempoh 48 jam lalu.
“Suspek ini dianggap penjenayah ‘trigger happy’ kerana akan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan dalam kes samun. “Suspek ini ‘berani mati’ kerana mereka dengan selamba akan masuk ke kedai dan menyamun sebelum melarikan diri dengan turut melepaskan tembakan bagi menakutkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam, di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai kepada dua anggota MPV yang berjaya menahan suspek iaitu Koperal Tuan Mustaffa Tuan Lah, 54, dan Lans Koperal Fadzaly Mohd Sah, 28.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan samun dan boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 8 akta yang sama kerana memiliki senjatapi dan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan, selain Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.