SABAK BERNAM – Semua lori dan kontena di seluruh negara diwajibkan memasang reflektor atau pelekat pemantul cahaya yang mengikut standard kelulusan Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) mulai 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penggunaan reflektor yang berkualiti adalah penting bagi mengelakkan sebarang kemalangan terutamanya pada waktu malam.
Katanya, selepas tarikh penguatkuasaan itu, mana-mana lori yang masih menggunakan reflektor yang tidak mengikut standard SIRIM boleh didenda sebanyak RM300.
“Sekiranya ada lori atau kontena yang diletakkan di tepi jalan, melalui reflektor berkualiti ini kenderaan berat tersebut masih boleh dilihat dari jauh seterusnya mampu mencegah kemalangan.
“Sekarang ini apa yang saya tengok kebanyakan lori menggunakan reflektor yang tidak mengikut standard SIRIM,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sungai Besar di sini. – K! ONLINE