Kangar: Dua pegawai Jabatan Kastam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang pemilik bot di Kuala Perlis, semalam.
Pengarahnya Yaakob Angah berkata seorang lelaki awam turut ditahan di rumahnya di Kuala Perlis kerana disyaki bersubahat dengan pegawai kastam berkenaan hari ini.
Menurutnya pegawai kastam berumur 40-an itu didakwa meminta RM4,000 daripada pemilik bot terbabit supaya dilepaskan daripada didakwa membawa stok diesel berlebihan untuk diseludup ke negara jiran pada Ahad lalu.
“Pasukan SPRM bagaimanapun menemui wang RM3,000 sahaja daripada mereka ketika diberkas petang semalam,” kata Yaakop dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata dua pegawai kastam itu ditahan reman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala lelaki yang bersubahat pula disiasat mengikut Seksyen 28 akta sama.