Kulim: Orang ramai tidak perlu panik atau bimbang dengan penyebaran video pocong yang kini menjadi viral di laman sosial Facebook kononnya kumpulan penyamun melakukan penyamaran menyerupai hantu dalam melakukan jenayah di Jalan Sungai Ular, di sini.
Dalam video berdurasi 54 saat dimuat naik oleh pemilik akaun dikenali sebagai Tok Jangut berkenaan sejak kelmarin menunjukkan pemandu sebuah kenderaan terserempak dengan makhluk berselubung kain putih di tepi jalan menghampiri mereka
Berikutan itu, pemilik akaun menasihati orang ramai yang melalui laluan terbabit supaya berhati-hati kerana ada pihak menyamar sebagai pocong mengambil kesempatan ke atas pemandu hingga menyebabkan mereka terbabas.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian terbabit.
Menurutnya, jika kejadian ‘pocong’ melakukan samun berlaku seperti didakwa, mangsa perlu membuat laporan polis supaya tindakan segera dapat diambil.
“Polis berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ia boleh menimbulkan panik serta kerisauan dalam kalangan pengguna jalan.
“Jika ia benar berlaku maka pihak terbabit perlu melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut kerana jika disebarkan di laman sosial akan menimbulkan pelbagai spekulasi atau kebimbangan pada masyarakat terutama mereka yang melalui jalan itu pada waktu tengah malam dan awal pagi,” katanya.