Kuala Pilah: Seorang lelaki warga emas parah di kepala dan tangan apabila dibelasah seorang penjenayah menggunakan sebatang besi dan kayu dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Mara Parit Tinggi, di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku jam 3 petang ketika mangsa berusia 80 tahun sedang tidur sebelum muncul seorang lelaki tidak dikenali dalam rumahnya.
Sumber berkata, terkejut dengan kehadiran suspek, mangsa cuba melawan menyebabkan dia dibelasah di kepala dan siku hingga berdarah.
“Sebaik melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah, suspek menggeledah rumah mencari barangan berharga.
“Suspek menjumpai wang tunai RM500 dan telefon bimbit. Bukan itu sahaja, suspek turut melarikan motosikal mangsa.
“Selepas suspek beredar, mangsa dalam keadaan berlumuran darah menggagahkan diri keluar dari rumah menuju ke tepi jalan mendapatkan bantuan,” katanya.
Katanya, orang ramai menjumpai mangsa menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superitendan Luqman Abd Rahman ketika dihubung mengesahkan kejadian terbabit.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek.
“Kami percaya kes ini dapat diselesaikan berdasarkan beberapa petunjuk diperoleh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.