KOTA KINABALU 4 Jan. – Beberapa laras senjata dipercayai milik pengganas Kiram ditemukan tertanam di sebuah kawasan perumahan lama di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Utusan Malaysia difahamkan, senjata itu bukannya dimiliki oleh pasukan keselamatan negara dan dipercayai kepunyaan pengganas Kiram.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, senapang M14 dan pistol itu ditemukan oleh orang awam di kampung berkenaan petang ini.
Menurutnya, penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada anggota batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Dua laras senapang dan beberapa pucuk pistol beserta peluru itu telah berkarat.
“Kita menerima makluman berhubung penemuan itu (senjata) dari orang awam. Anggota pasukan PGA kemudiannya ke lokasi dan mengorek tanah sebelum menemukan senjata terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya juga percaya senjata itu milik pengganas Kiram dan ‘ditanam’ ketika serangan pencerobohan Kampung Tanduo, dua tahun lalu.
Tambah Abdul Rashid, pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan berhubung senjata terbabit.
“Kita masih siasat pemilik senjata itu kerana senjata dan peluru terbabit telah berkarat selain nombor siri agak kabur,” katanya.
Sekitar Mac 2013, Kampung Tanduo diceroboh oleh pengganas Kiram menyaksikan kekejaman kumpulan pengganas itu termasuk membunuh anggota keselamatan negara.
Sementara itu, Abdul Rashid Harun yang memulakan tugas sebagai Pesuruhjaya Polis negeri yang baharu, berkuat kuasa hari ini, menyatakan komitmen meminimumkan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Perintah berkurung akan diteruskan kerana perkara itu merupakan salah satu kaedah dalam meningkat keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Kita masih memerlukan perintah berkurung.
“Masyarakat di Esszone meyakini bahawa keselamatan dapat ditingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Beliau menerima serah tugas itu daripada Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.
Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.