Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
KOTA KINABALU: Sembilan tertuduh warga Filipina yang dituduh mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kes pencerobohan Lahad Datu pada 2013, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Mereka ialah Atik Hussin Abu Bakar, 45; Basad H Manuel, 41; Ismail Yasin, 76; Virgilio Nemar Patulada, 56; Salib Akhmad Emali, 63; Al Wazir Osman, 61; Tani Lahad Dahi, 63; Julham Rashid, 69 dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 53.
Atik, Basad, Ismail dan Virgilio turut dikenakan hukuman penjara 13 tahun mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas, manakala Salib, Al Wazir, Tani, Julham dan Datu Amirbahar dihukum penjara 18 tahun mengikut seksyen sama bermula dari tarikh ditangkap.
Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung Hian Guan yang menjatuhkan hukuman itu sebentar tadi mengarahkan mereka menjalani kedua-dua hukuman serentak.
Sementara itu, tiga rakyat Filipina yang hanya dituduh mengikut Seksyen 130 KA turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun iaitu Aiman Radie, 19; Lin Mad Salleh, 58 dan Holland Kalbi, 50, manakala seorang warga Filipina iaitu Timhar Hadir, 39 dan penduduk tempatan, Abdul Hadi Mawan, 52, masing-masing dipenjara 15 tahun mengikut seksyen sama.
Satu-satunya tertuduh wanita warga Filipina, Norhaida Ibnahi, 49, yang didakwa mengikut Seksyen 130 K Kanun Keseksaan kerana melindungi pengganas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh tangkapan.
Rakyat tempatan, Pablo Alie, 65, yang didakwa mengikut Seksyen 130 G (c) kerana menghasut, menggalakkan atau mencari harta untuk kegunaan pengganas dihukum penjara 15 tahun.
Seorang lagi rakyat tempatan iaitu Mohd Ali Ahmad, 40, yang didakwa mengikut Seksyen 130 J (1) (a) kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, turut dihukum penjara 15 tahun. Semua hukuman dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.