SERDANG – Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut terkena tembakan daripada senjata yang sedang dibersihkan oleh rakan setugasnya di Stor Senjata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, Abu Samah Abu Hassan, 57, mengalami kecederaan parah di kepala akibat terkena satu das tembakan sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada pukul 3.45 petang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd. Aminuddin Megat Alias berkata, sebelum kejadian, rakan setugas mangsa yang berpangkat lans koperal berusia 32 tahun sedang mengosongkan pistol jenis Walther PPK manakala mangsa berada kira-kira 70 meter dari stor senjata berkenaan.
Menurut beliau, ketika lans koperal itu menarik picu senjata itu, senjata berkenaan melepaskan satu das tembakan dan terkena mangsa yang bertugas sebagai penyelia Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Serdang.
“Ketika itu, mangsa yang dalam pakaian seragam sedang memeriksa enjin kereta sebuah kenderaan MPV di luar stor senjata rebah dan pengsan akibat terkena tembakan,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, peluru pistol Walther PPK menembusi tingkap di bilik stor senjata berkenaan sebelum ia terkena mangsa.