KLUANG: Seorang anggota polis maut, manakala rakan setugasnya parah dalam kemalangan di Kilometer 78 Jalan Johor Bharu-Air Hitam, berhampiran Kampung Petak di Pekan Machap, dekat sini kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham, berkata Koperal Basri Yaacob, 34, yang cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Rakan mangsa, Lans Koperal Mohd Amirul Hakim Abd Latif, 31, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom (HEBHKK) Kluang.
“Kereta peronda dipandu Basri merempuh belakang lori yang diletak di tepi jalan di kawasan kejadian,” katanya di sini.
Muhamad berkata, kedua-dua mangsa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.