Subang Jaya: Polis menahan 16 individu termasuk dua remaja dan merampas ganja bernilai RM33,000 dalam empat serbuan di Bandar Sunway di sini, 26 dan 28 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dua remaja berusia 16 dan 17 tahun ditahan bersama 12 individu lain menerusi tiga serbuan dilakukan pada 26 Julai.
Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 1.20 tengah hari dan pihaknya menahan lelaki berusia 40 tahun serta merampas tiga paket ganja seberat 521 gram bersama kereta.
“Serbuan kedua pula dilakukan pada 4 petang. Kita menahan remaja lelaki berusia 16 tahun ketika sedang berjalan di Bandar Sunway. Hasil pemeriksaan menemui 251 gram ganja di dalam poket seluar dan beg suspek.
“Serbuan ketiga pula dilakukan di rumah di Bandar Sunway pada 7.20 malam, polis menahan 12 individu lelaki termasuk dua warga asing selepas menemui ganja seberat 444 gram yang disorokkan di dalam bilik air.
“Manakala serbuan terakhir dilakukan pada 28 Julai, kita menahan dua lelaki termasuk satu warga asing dan hasil pemeriksaan di dalam bonet kereta dinaiki menemui tujuh ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 10,475 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.
Menurut Azlin, jumlah berat keseluruhan ganja dirampas adalah 11.668 kilogram dan dipercayai untuk pasaran sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, kebanyakan suspek ditahan adalah pelajar di sekitar kawasan berkenaan termasuk di ibu kota.
“Kesemua suspek berusia 16 hingga 40 tahun terbabit direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.