KLANG: Seorang pemandu lori kontena melecur sebahagian badan apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Shapadu, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu sebuah van serta seorang penumpangnya turut tercedera akibat rempuhan lori berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5.08 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dihantar ke tempat nahas.
Katanya, berdasarkan laporan awal, lori kontena dipandu lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu, dipercayai dari Pelabuhan Klang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori terbabit hilang kawalan dan melanggar sebuah van yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun sebelum terbakar. Akibatnya, pemandu lori melecur 10 peratus, manakala pemandu dan seorang penumpang van berusia 38 tahun cedera ringan.
“Semua mangsa dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, nahas turut menyebabkan kesesakan lebih satu kilometer kerana kerja pembersihan susulan kemalangan terbabit, termasuk memindahkan papan tanda lebuh raya yang jatuh dilanggar lori berkenaan.