ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera putus kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Baru Solok Duku-Tanjung Bidara, di sini jam 10.30 pagi semalam.
Koperal Mohd Khairul Nordin, 36, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Solok Duku dari Tanjung Bidara apabila terbabit dalam nahas berkenaan.
Ketua Polis daerah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata siasatan awal mendapati sebuah kereta PROTON Waja dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar mangsa di laluan bertentangan.
“Mangsa yang menunggang motosikal Honda Waze dilanggar kereta dipandu seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusia 58 tahun yang dipercayai gagal mengawal kenderaannya.
“Akibatnya, anggota tentera itu yang berkhidmat di Kem Terendak Sungai Udang cedera parah selepas kaki kanannya putus, manakala pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.