PORT DICKSON – Seorang lelaki maut manakala dua rakannya parah apabila kereta yang dinaiki terlibat dengan kemalangan jalan raya di kilometer 16.9 Lebuh Raya Seremban Port Dickson sekitar jam 3petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang maut penumpang belakang kereta Mohamad Noor Zulhairie Amir,25, mengalami cedera parah di kepala tercampak dari kenderaan ketika kemalangan berlaku.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu maut ditempat kejadian dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati kereta di pandu oleh Nor Hanif Hakimi Nor Hassan,18, memandu dari arah Seremban ke Port Dickson telah gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pembahagi jalan sebelah kanan.
“Kereta berkenaan berpusing dan terbabas ke kiri bahu jalan.
“Pemandu dan seorang lagi penumpang yang duduk di hadapan, Mohammad Noor Sharul Nizam Amir cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya.
Adzli menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.