Kuala Lumpur: Beg pakaian yang didakwa berisi bom dan ditinggalkan di laluan pejalan kaki di Jalan Terasek, Bangsar, di sini, sebaliknya hanya berisi baju lusuh dan beg tangan wanita.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, penduduk di kawasan itu dikatakan panik sebelum segera menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika mengesahkan perkara itu berkata, beg pakaian berkenaan tidak mengandungi bom.
“Orang ramai yang melalui kawasan berkenaan curiga dengan isi kandungan beg berkenaan kerana ia diletakkan di laluan pejalan kaki hingga mendorong mereka membuat laporan polis.
“Sebaik menerima laporan pada jam 12.41 tengah hari, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) diarahkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan terhadap kandungan beg itu,” katanya.
Amar berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati beg terbabit tidak mengandungi bom, sebaliknya hanya terdapat pakaian dan beg tangan sahaja.