Kajang: Seorang lelaki ditemui masih bernyawa meskipun selepas tergelincir dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Taman Sri Indah, di sini.
Dalam kejadian jam 4.55 petang kelmarin, mangsa dikenali sebagai Silvam berusia 24 tahun dikatakan cuba mengambil barang di balkoni pangsapuri itu sebelum terjatuh.
Akibatnya mangsa terhempas di atas bumbung di tingkat satu pangsapuri berkenaan.
Bagaimanapun mangsa bernasib baik berikutan hanya cedera ringan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Kaha Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.59 petang.
Menurutnya, seramai 11 anggota bomba bergegas ke lokasi bagi menurunkan mangsa dari bumbung pangsapuri berkenaan.
“Mangsa berjaya dibawa turun 10 minit kemudian sebelum diserahkan dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.