TEMERLOH – Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cedera parah ditetak pendatang asing tanpa izin (Pati) di kawasan hutan Taman Negara Ulu Tembeling, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Mohd Khairul Azuan A Aziz 29, cedera di muka dan tangan selepas ditetak ketika melakukan operasi bersepadu kira-kira 10 kilometer di dalam hutan Taman Negara berkenaan.
Mangsa hanya berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter pada jam 11 pagi semalam, selepas usaha melalui jalan darat gagal akibat faktor muka bumi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa bersama 10 lagi pegawai termasuk enam tentera melakukan operasi bersepadu di Sungai Roak, Ulu Tembeling,
“Kami difahamkan, semasa bertembung dengan Pati terbabit, berlaku pergelutan dan mangsa cedera di muka dan tangan akibat ditetak dengan parang.
“Rakan mangsa cuba membawanya keluar melalui jalan darat, tetapi tidak berjaya disebabkan bentuk muka bumi dan juga keadaan mangsa yang cedera parah.
“Susulan itu, dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Subang, mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.
Azid berkata, mangsa yang bertugas di Perhilitan Rompin kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan pihak polis sedang melakukan siasatan serta memburu suspek.
Sementara itu, Komander Operasi JBPM, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menaiki pesawat jenis MI 17 bersama 10 krew, berlepas dari Subang pada jam 10.30 pagi semalam, dan mendarat di Sekolah Sukan Pahang Seberang Temerloh membawa doktor, sebelum berlepas ke Kampung Gusai, Jerantut.
Menurutnya, mangsa dibawa dengan helikopter dan tiba di Hoshas kira-kira jam 12.09 tengah hari semalam, untuk rawatan lanjut.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abd Rasid Samsudin dan Timbalan Ketua Pengarah Fakhrul Hatta Musa serta Pengarah Perhilitan Pahang, Datuk Khairiah Sharif turut menziarahi mangsa.