IPOH: Seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan dilepaskan seorang pesara kerajaan bergelar Datuk yang menyangka mangsa adalah monyet di atas pokok rambutan di Kampung Chepor Dalam, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa berusia 60an cedera di lengan kanan akibat terkena tembakan itu. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata ketika kejadian pesara kerajaan berkenaan berada di rumah abang iparnya sebelum ternampak satu pergerakan di atas pokok kira-kira 50 meter dari lokasinya berada.
Katanya, lelaki terbabit mengeluarkan senjata api miliknya dan melepaskan tembakan ke arah pergerakan yang disangkanya monyet. “Kemudian lelaki itu terdengar satu suara mengerang kesakitan dan mendapati tembakan itu terkena seorang lelaki,” katanya ketika dihubungi di sini.
Chang Keong berkata, susulan daripada kejadian itu, pesara berkenaan membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Polis masih menyiasat punca kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.