TEMERLOH: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas dakwaan melakukan jenayah peras ugut.
Beliau bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memeras ugut seorang ahli perniagaan, Chan Leong Kwan, 40 dengan meminta wang berjumlah RM1,500 atau berdepan risiko tidak dapat meneruskan perniagaannya.
Sanjeevan didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 25-27-29 Tingkat Atas, Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, dekat Bera pada jam 9.45 malam, 1 Julai 2013.
Tertuduh diwakili peguam, Ravin Jay, manakala pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa, Inspektor K Kishornath.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sanjeevan dibebaskan dengan ikat jamin RM3, 000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September depan untuk tarikh sebutan semula kes.