KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun dilaporkan hilang di kawasan perumahan Rumah Panjang Jinjang Utara, di sini, sejak kelmarin.
Kanak-kanak itu, Nor Amila Edrus Norsham, dikatakan tidak pulang ke rumah selepas solat Magrib di surau hadapan rumahnya.
Kakaknya, Nornazura Norsham,25, berkata, adiknya itu biasanya pergi ke surau bersama ayah dan seorang lagi adik beradiknya namun semalam dia pergi bersendirian.
“Kami perasan dia tiada pada jam 9 malam. Dia memang biasa ke surau dan ramai budak-budak lain yang ada sekali. Bila ditanya kawan-kawannya yang lain, mereka perasan Edrus memang ada solat sekali pada waktu Magrib.
“Biasanya dia akan pulang selepas Maghrib dan pergi semula untuk solat Isyak.
“Semua penduduk bantu mencari di kawasan rumah sehingga jam 6 pagi tadi namun tidak menemui sebarang petunjuk. Baju terakhir yang dipakai adalah t-shirt belang, seluar sukan dan kopiah putih,” katanya kepada Sinar Harian.
Zura menambah, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jinjang dan usaha alternatif juga dilakukan.
“Edrus jenis budak yang peramah, namun dia tidak akan ikut orang yang dia tidak kenali,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi 014-716 8977 atau 014‑724 2412.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan kejadian dan berkata, bapa mangsa Norsham Jali telah membuat laporan polis kerana khuatirkan keselamatan anaknya.
“Orang ramai yang melihat kanak-kanak berkenaan diminta menghantarnya ke balai polis terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.