SEREMBAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, ditemui mati terdampar di tebing sungai di hadapan sebuah sekolah di Rahang di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 41 tahun itu, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi oleh orang ramai yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata ibu mangsa membuat laporan mengenai kehilangan mangsa, selepas mendapati anaknya keluar rumah tanpa membawa MyKad.
Katanya, mangsa yang juga seorang pesakit mental dan masih menjalani rawatan psikiatri, sering kelihatan berjalan berhampiran kawasan rumah di sekitar Rahang.
“Selepas menerima laporan ibu mangsa minggu lalu, polis cuba mengesan mangsa di kawasan sekitar tetapi gagal ditemui,” katanya di sini.
Muhamad Zaki berkata, siasatan di lokasi mangsa ditemui tidak menemui sebarang senjata dan percaya tiada unsur jenayah dalam kes itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.