Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Warga Asing Menyorok Dalam Tangki Air Elak Dicekup

$
0
0

WARGA asing yang menyorok dalam tangki air diberkas penguatkuasa imigresen ketika serbuan dalam operasi bersepadu di tapak pembinaan hotel di Jalan Pengkalan Rama, kawasan Melaka Tengah, Melaka. NSTP/Rasul Azli Samad

 

MELAKA: Seramai 77 warga asing dicekup termasuk lapan daripadanya ditemui ketika sedang bersembunyi di dalam tangki sedalam 1.5 meter dalam dua serbuan dibuat Jabatan Imigresen Melaka, di sini, petang semalam.

Lima warga Bangladesh dan tiga Myanmar berkenaan adalah antara yang ditahan dalam operasi di tapak pembinaan di Jalan Pengkalan Rama, di sini. Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidik Hasan, berkata lapan warga asing itu ditemui dalam keadaan lencun dipercayai menyorok di dalam tangki air.

“Dalam operasi ini, kita menahan seramai 77 warga asing, menerusi dua serbuan dijalankan di tapak pembinaan di Jalan Pengkalan Rama dan sebuah pusat urut di Melaka Raya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam operasi selama tiga jam bermula 2.30 petang itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada 27 warga Indonesia; Bangladesh (23); Myanmar (11); Thailand (11) dan Nepal (5) yang berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Operasi bersepadu itu disertai seramai 68 anggota termasuk dari Jabatan Imigresen Melaka; Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Abu Bakar berkata, dalam operasi di pusat urut pula, seramai sembilan wanita warga Thailand, termasuk dua lelaki ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan menjadi tukang urut.

Semua warga asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk pemeriksaan dokumentasi, sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082