PASIR PUTEH: Pemilik kedai makan dan pelanggan bertempiaran lari selepas hampir dirempuh lori yang terbabas berhampiran simpang tiga Kilometer 1, Jalan Padang Pak Amat – Telipot, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu jam 2 petang, lori dipandu Irman Zaki, 30, dari Kampung Bukit Bidang, Selising, di sini, gagal dikawal kerana brek kenderaan itu dikatakan tidak berfungsi, lalu merempuh bahagian hadapan kedai makan itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Abdul Rozak Mohamad, berkata lori terbabit merempuh kedai makan milik Suhaila Yusof tetapi tiada yang cedera dalam kejadian itu.
“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku akibat brek gagal berfungsi dan pemandu cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta di hadapan,” katanya kepada BH di sini.
Abdul Rozak, berkata saman dikeluarkan terhadap pemandu terbabit kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lori ini juga dilakukan dan keputusannya negatif,” katanya.