Kuala Lumpur: Kumpulan samseng ceti haram atau along dikesan menggunakan taktik peras ugut ‘mayat’ terhadap ahli keluarga yang baru kehilangan anak atau bapa akibat kemalangan jalan raya.
Mereka didakwa mendapatkan maklumat identiti mangsa yang maut kemalangan melalui laporan di media sebelum berpura-pura menyerang keluarga dan menuntut hutang.
Samseng along terbabit mendakwa si mati pernah berhutang wang dengan mereka namun gagal menunjukkan bukti ‘hitam putih’ pinjaman dibuat sebelum ini.
Terbaru seorang wanita yang baru kematian anak berusia 17 tahun terkejut apabila diperas ugut along yang mendakwa anaknya berhutang RM3,000.
Mangsa, Lim Yau Teng, 42, berkata, dia terkejut apabila kumpulan along muncul di rumahnya sebelum mendakwa mendiang anak sulungnya, Lim Jiun Wai, 17, berhutang dengan mereka.
Menurutnya, anaknya sebelum ini maut dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggang merempuh belakang lori yang berhenti di tepi jalan di Jalan Aman Damai, di sini, 12 Ogos lalu.
“Namun pada 15 Ogos lalu, sekumpulan along muncul di rumah dan mencari mendiang anak saya. Mereka mendakwa anak saya mempunyai hutang dengan mereka.
“Saya tidak percaya dengan dakwaan mereka kerana anak saya masih bersekolah. Tidak mungkin along membenarkan pelajar sekolah membuat pinjaman,” katanya.