GEORGETOWN: Penyanyi rap kontroversi, Namawee, dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman empat harinya tamat, hari ini.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah), Ahmad Tajudin Zaini, menolak permohonan polis menyambung tempoh reman penyanyi berkenaan.
Isnin lalu, Namawee direman bagi membantu siasatan kes muzik videonya yang didakwa menghina Islam.
Video klip berdurasi 4.05 minit itu memaparkan rakaman empat lelaki menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin sambil menari dalam rumah ibadat, termasuk di sebuah masjid di Tanjung Bungah, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata Namawee atau nama sebenarnya Weng Meng Chee, 33, dibebaskan sementara menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.