KUALA LUMPUR: Tindakan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Proton Saga melarikan diri daripada ditahan polis membawa padah apabila dua daripada mereka akhirnya diberkas selepas dikejar sejauh lebih 40 kilometer, lewat petang tadi.
Dalam kejadian itu sekitar jam 5.15 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu di Lorong Haji Hussien, Jalan Chow Kit, di sini, sebelum mengarahkan pemandunya berhenti.
Bagaimanapun, suspek terus memecut kenderaan ke Jalan Ipoh sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke arah selatan. Usaha mengejar suspek turut dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Daerah Sentul yang mengesan suspek di Jalan Ipoh.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata ketika itu, suspek dilaporkan cuba melanggar pasukan polis yang mengejar, sehingga memaksa polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
Suspek kemudian dikesan melalui susur masuk ke Bandar Bukit Mahkota, Kajang, sebelum berhenti tidak jauh dari kawasan plaza tol. Berikutan itu, polis kemudian menahan dua lelaki manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis heroin dalam kereta berkenaan.