Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Sebutan Kes Kahirudin, Chang Pada 24 Feb Depan

$
0
0

mahkamah

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh yang berdepan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memaklumkan pendakwaan masih menunggu tarikh rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Khairuddin dan Chang tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu tiada sebarang bantahan direkod Peguam yang mewakili Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhubung tarikh sebutan itu.

Pada 18 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah SOSMA dan membebaskan Khairuddin dan Chang masing-masing dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.

Khairuddin, 54, dan Chang, 66, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong; dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082