KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki patah kaki kiri dan cedera di kepala selepas terjatuh ke dalam longkang besar ketika cuba mengait rambutan di belakang rumahnya di Bukit Sentosa, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, Choo Ah Kiew, 75, jatuh dari ketinggian kira-kira 4.5 meter ke dalam longkang tidak berair dan pihak bomba dipanggil untuk mengeluarkannya.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie dihantar ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.
Rosdi berkata, mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dan mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan dari Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
“Kita beri rawatan awal kepada mangsa sebelum dia diikat pada pengusung khas untuk ditarik naik. “Orang ramai dan anggota polis turut membantu operasi,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan ambulans HKKB untuk rawatan lanjut.