Kuala Lumpur: “Kebakaran berlaku dengan cepat. Sekelip mata saja asap tebal menyelubungi jalan raya,” kata saksi kejadian sebuah kereta model Volvo S60 yang terbakar di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) di Pantai Dalam, di sini, pagi semalam.
Saksi yang enggan dikenali itu berkata, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu disedari orang ramai selepas api marak di kereta itu menyebabkan banyak kenderaan lain berhenti.
“Saya nampak kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat. Tidak sampai beberapa minit kemudian, terdapat asap tebal dari kenderaan itu.
“Pada mulanya, saya ingatkan ada kemalangan berlaku, tapi rupa-rupanya sebuah kereta terbakar dan api sangat marak menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan selama beberapa minit.
“Namun, keadaan itu mula reda apabila bomba datang untuk memadam kebakaran itu,” katanya yang berada di stesen minyak berhampiran ketika kejadian.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Zakaria Sa’ahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 pagi sebelum mengarahkan enam anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta terbakar dan api sedang marak. Kami mengambil masa kurang lima minit untuk memadam kebakaran itu yang terbakar 60 peratus,” katanya.
Katanya, pemandu kereta itu yang berusia lingkungan 40 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lelaki itu memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat di laluan dari Pantai Dalam menghala ke Bangsar selepas menyedari asap keluar dari bahagian enjin.
“Kes diserahkan kepada Unit Forensik Bomba untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya.