Johor Bahru: Ibu tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memperdagangkan anak bongsunya bagi eksploitasi seks, tahun lalu.
Tertuduh, Lai Siew Jze, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah di Australia itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap anak perempuannya yang ketika kejadian itu berusia 13 tahun di bilik hotel du Jalan Tebrau di sini, 9 pagi 20 September 2015.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Safiah Abdul Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.