JELI: Polis menafikan ada pocong muncul di Bukit Balah di sini yang tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu. Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar, berkata sehingga kini belum ada mana-mana individu membuat laporan mengenai penemuan pocong di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sesuatu cerita sebelum merujuk kepada pihak bertanggungjawab. “Polis juga nasihatkan agar hentikan cerita tidak berfaedah bagi menakut-nakutkan masyarakat serta pengguna laluan berkenaan.
Kami juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit sekiranya menerima laporan,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial kononnya seorang pegawai Jabatan Perikanan Jeli terserempak dengan ‘pocong’ ketika memandu kereta di Bukit Balah, kira-kira jam 3.20 pagi Isnin lalu.
Sebaik terlihat objek yang berada di garisan putih di tengah jalan berkenaan, mangsa keluar dari kereta bagi memeriksa namun objek itu terus bangun serta melompat-lompat sebelum menghilangkan diri.