NILAI: Seorang jurugambar sambilan wanita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) negeri ini, cedera disamun dua lelaki menaiki sebuah kereta dalam kejadian di Nilai 2 di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza, 21, bertemu kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an untuk urusan jualan telefon pintar miliknya yang diiklankan melalui laman web.
Katanya, seorang daripada suspek turun dari kereta dan mengambil telefon itu sebelum menyatakan persetujuan untuk membelinya. “Dia membawa telefon itu masuk ke kereta kononnya untuk mengambil duit.
Kemudian saya menghulurkan tangan ke dalam kereta melalui tingkap untuk mengambil duit, sebelum rakannya tiba-tiba memecut kereta berkenaan. “Tindakan itu menyebabkan saya terseret beberapa meter sebelum terjatuh dan cedera pada tangan, badan serta kaki,” katanya di sini.
Wan Nur Amirah yang akan berkahwin pada 18 September ini, membuat laporan di Balai Polis Nilai, di sini.