Walaupun tiada rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan bom yang menggegarkan Jakarta hari ini, kejadian itu tetap memberi impak kepada individu yang berada berhampiran kawasan tersebut.
Tidak terkecuali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Nasharudin Mat Isa yang baru selesai bermesyuarat bersama Pengarah Urusan Pusat Strategik dan Pengajian Antarabangsa (CSIS), Jakarta, Dr. Philips Vermonte bersama dua lagi individu kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Sejurus tamat mesyuarat, saya bersama rakan menuju ke kereta untuk pulang ke hotel, bagaimanapun dalam perjalanan, kami mendapat arahan daripada pihak polis mengarahkan supaya melalui jalan lain.
“Ketika kejadian, orang ramai dilihat sedang berlari menyelamatkan diri dan kelihatan polis dan askar memasuki kawasan kejadian. Walaupun berada sedikit jauh dari kawasan kejadian, kita mengambil pendekatan supaya lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.