Kota Bharu: Tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian melepaskan tembakan rambang di kedai shisha di Telipot, di sini dua minggu lalu ditahan di Gerik, Perak, 7 September lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20an termasuk dua beradik ditahan pada 6.30 petang.
Menurutnya, ketika kejadian suspek yang menaiki kereta berhenti di depan stesen minyak di Perak sebelum ditahan polis.
“Hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Kelantan, suspek yang ditahan dipercayai pulang ke kampung untuk berhari raya.
“Semua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api(Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata, motif kejadian kemungkinan berpunca daripada hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.