IPOH: Viral cubaan menculik di Taman Perpaduan, di sini, pagi kelmarin, sebenarnya adalah kes cubaan samun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun memaklumkan rumahnya dimasuki seorang lelaki tidak dikenali sambil memegang sebilah pisau.
Katanya, ketika kejadian, anak perempuan pengadu berada di hadapan rumah dan bertindak mempertahankan diri.
“Pengadu keluar dari rumah berkenaan dan mencapai sebatang kayu menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi. Chang Keong berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki susulan maklumat daripada orang awam.
“Berdasarkan siasatan polis, kejadian itu adalah cubaan samun, yang disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung kes berkenaan,” katanya.