BATU PAHAT: Seorang Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Batu Pahat maut dalam nahas jalan raya di Jalan Johor Bahru-Melaka, dekat Tanjung Laboh, di sini, ketika dalam perjalanan ke Seminar Komemoratif 70 tahun UMNO di Pusat Konvensyen Antarabangsa, PERSADA, di Johor Bahru, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Sharifah Nadiah Syed Omar, 34, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari pusat bandar ke Rengit untuk mengambil rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.
“Kemalangan dipercayai berlaku kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas merempuh peti milik Telekom Malaysia (TM) serta tiang elektrik di tepi jalan dalam keadaan cuaca hujan lebat ketika itu.
“Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.