Anggota keluarga Bernard Then Ted Fen, jurutera dari Sarawak yang diculik di Sabah dan dibunuh di Pulau Jolo berpuas hati dengan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan, kedutaan Malaysia, kedutaan Filipina dan kerajaan Filipina.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah bagi pihak anggota hari ini menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama tersebut.
Beliau berkata kerajaan Filipina termasuk sebuah gereja telah mengendalikan semua urusan, bermula dari mencari mendiang, melakukan pengesahan, pengecaman identiti dan dokumentasi bagi membolehkan mayat mendiang dituntut oleh anggota keluarga.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Wisma Putra dan kerajaan negeri Sarawak yang banyak memberi bantuan.
“Upacara pengebumian mangsa dilakukan dua kali, pertama semasa mayat tiba di Manila dan keesokannya oleh seorang paderi dari Zamboanga, tempat Bernard dibunuh,” katanya kepada pemberita semasa menemani Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem melancarkan Karnival 1Azam di sini hari ini.
Then diculik di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei tahun lalu bersama pengurus restoran terbabit, Thein Nyuk Fun, 50, oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan militan dari selatan Filipina.
Nyuk Fun dibebaskan oleh penculiknya pada 8 Nov sementara Then, 39, telah dipenggal kepala di suatu lokasi terpencil di Pulau Jolo pada 11 Nov.
Fatimah yang berlepas ke Manila dua hari lalu bersama pegawai khas kepada Ketua Menteri, Wan Khalik Wan Mohamad dan ibu bapa Bernard bagi menghadiri upacara pembakaran mayat, telah kembali ke Kuching pagi tadi.
Beliau berkata mendiang Bernard telah diberi penghormatan tertinggi oleh semua pihak.
Fatimah berkata abu mayat Bernard diterbangkan dari Manila pada pukul 3 petang hari ini untuk upacara sembahyang di Kuala Lumpur sebelu abunya dikebumikan di sebuah gereja di Shah Alam. -Bernama