PORT DICKSON – Empat lelaki Filipina dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.
Keempat-empat warga asing itu yang ditahan antara pukul 6 petang hingga 6.20 petang minggu lalu mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas faham pertuduhan terhadap mereka yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh, Muhammad Ontoh, 30, Almen Abu Bakar, 35, Sajid Abtuh, 25, dan Mukmin Andod, 25, diperintah menjalani hukuman tersebut dari tarikh mereka ditangkap dan akan dihantar ke Jabatan Imigresen untuk dibawa pulang ke Filipina sebaik hukuman berakhir.
Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan palsu mengandungi butir maklumat orang lain di dua rumah berasingan di Taman PD Utama di sini antara pukul 6 petang hingga 6.20 petang, 9 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Negeri Sembilan, Shah Amirul Gautamaruban dan Mohd. Hafiz Wan Ismail manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE