KOTA BHARU: Kes seorang sami Buddha cedera ditikam di Kampung Jubakar Darat di Tumpat pada Sabtu lalu, tidak mempunyai kaitan dengan unsur perkauman.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail yang menolak dakwaan wujud unsur perkauman membabitkan masyarakat Siam dan Melayu dalam insiden berkenaan, berkata kejadian terbabit adalah kes cubaan samun.
“Berlaku pergelutan di antara sami itu dan suspek sehingga mangsa yang berusia 55 tahun cedera parah. Kami sudah menahan suspek dan hasil soal siasat mendapati dia menikam sami itu dengan senjata tajam ketika pergelutan.
“Sami itu sudah dibenarkan pulang oleh pihak hospital selepas mendapat rawatan, manakala suspek masih ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang sami cedera parah ditikam seorang pencuri yang masuk ke dalam rumahnya di sebuah wat di Kampung Jubakar Darat, kira-kira jam 5.30 petang.
Mangsa yang mengalami luka di belakang dihantar untuk rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).