Image may be NSFW.
Clik here to view.
KOTA BHARU: Dua lelaki termasuk seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 18 tahun secara bergilir-gilir di Kampung Semerak, Pasir Puteh, Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Farhan Ismail, 20, dan Muhammad Bukhori Mohd Zawawi, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nazri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan di hadapan orang lain di Bukit Peraksi Semerak, Pasir Puteh, jam 11 malam, pada 15 Oktober 2015.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arsyad, memohon mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana kesalahan mereka adalah serius.
“Tiada alasan istimewa kepada tertuduh kerana kepentingan mangsa perlu diambil kira. Walaupun tertuduh bertugas di Sarawak, alamat tempat tinggal tertuduh di Pasir Puteh,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.