Shah Alam – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terhadap seorang pegawai kanan Kementerian Pelancongan sejak selasa lalu berikutan berlaku salah guna kuasa pegawai itu.
Difahamkan, siasatan terhadap pegawai kanan bergelar Datuk itu menjurus pemberian beberapa projek kepada syarikat yang mempunyai hubungan kekeluargaan terdekat dengannya.
Sumber SPRM berkata, dalam siasatan berkenaan, mereka telah mengambil keterangan terhadap empat kakitangan kementerian dan seorang setiausaha sebuah syarikat pelancongan semalam.
“Bagaimanapun ke semua mereka telah dibebaskan dan kemungkinan akan terdapat beberapa lagi tangkapan yang akan dibuat.
“SPRM juga telah melakukan penggeledahan di pejabat Kementerian Pelancongan sejak Selasa lalu untuk mengumpul bukti,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, sumber enggan menjelaskan jumlah sebenar rampasan jumlah projek yang dimaksudkan.
Menurut sumber lagi, siasatan dimulakan SPRM selepas mendapat maklumat berhubung salah guna kuasa pegawai itu dari orang awam.
Sebelum ini, SPRM telah menahan reman dua pegawai kerajaan iaitu salah seorangnnya bergelar datuk seri yang bertugas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai kanan TNB bergelar datuk, dan pegawai kanan JKR.