Alor Setar – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan menculik lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar serta meminta wang tebusan sebanyak RM15,000 setiap seorang, pada 6 September lalu.
Pertuduhan terhadap Mohd Ibroni Abdullah,36, Zainal Nanyan, 32, Zangir Alam(Myanmar), Abul Husin Akhbar (Bangladesh) dan Saiful Shona Miya (Myanmar) dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menculik, mengurung dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar berusia 22 hingga 45 tahun bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM15,000 setiap seorang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat no 51 Kampung Asam Jawa, Bloc C Perumahan Pendang, dekat sini, kira-kira 2.30 pagi pada 6 September lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika tidak dihukum mati.
Mohd Khairul kemudian menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kerana memerlukan jurubahasa bagi tiga tertuduh warga Bangladesh dan Myanmar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.