Kuala Lumpur – Seorang peguam berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandu merempuh masuk ke medan selera di Menara Millenium, Bukit Damansara, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku jam 10.10 pagi, apabila lelaki berusia 51 tahun yang memandu kereta jenis Bently itu dikatakan tertekan pedal minyak ketika hendak mengambil kad parking yang terjatuh.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud, berkata kenderaan mangsa meluru laju ke hadapan dan melanggar tiga batang tiang penghadang, sebuah cermin besar sebelum masuk ke medan selera yang berada di hadapannya.
Akibatnya, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di beberapa bahagian, namun mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian, tidak ramai orang berada di medan selera terbabit. “Kerosakan hanya membabitkan harta benda pada bangunan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.